Biasiswa Utusan Malaysia-YPC
Biasiswa Utusan Malaysia-YPC – Pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang memperolehi keputusan lima kredit dipelawa memohon Biasiswa Utusan Malaysia-YPC sempena sambutan Hari Terbuka Biasiswa Utusan Malaysia-YPC pada 19 hingga 22 Mei ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Kolej YPC, Datuk Dr. Noel Robert berkata, ia pertama kali dianjurkan bagi memberi maklumat dan peluang kepada pelajar yang berkelayakan memohon biasiswa tersebut.
Menurutnya, program empat hari itu membolehkan pelajar lepasan SPM memohon biasiswa yang ditawarkan di ruang legar ibu pejabat korporat Utusan Malaysia di Kuala Lumpur.
“Biasiswa Utusan Malaysia-YPC mula ditawarkan bermula tahun 2012 bertujuan membantu pelajar bumiputera yang berpontensi dalam bidang akademik tetapi mereka kurang mampu dari segi kewangan untuk melanjutkan pengajian,” katanya ketika ditemui di pejabatnya dekat Cheras, baru-baru ini.
Menurutnya, tawaran biasiswa tersebut bagi pelajar yang berhasrat menyambung pengajian Chartered Accountant Pathway yang menawarkan empat program pengajian ijazah iaitu e-business technology, multimedia computing, accounting finance dan business management.
“Tawaran biasiswa ini khusus untuk pelajar lepasan SPM yang mendapat lima kredit termasuk Matematik dan Bahasa Inggeris dan layak mengikuti Kursus Foundation selama setahun di kolej itu.
“Usaha ini seiring dengan moto YPC sebagai peneraju pendidikan yang berkualiti dengan yuran pengajian yang mampu dibayar dan usaha ini juga sebahagian daripada tanggungjawab sosial YPC kepada masyarakat,” katanya.
Kemudahan canggih yang disediakan di kampus Kolej YPC antaranya termasuklah dewan kuliah berhawa dingin dilengkapi skrin projektor, perpustakaan yang boleh memuatkan 500 pelajar, makmal komputer, makmal animasi digital, dewan seminar dan kemudahan jalur lebar.
Selain itu, katanya, pelajar yang terpilih berpeluang melanjutkan pengajian ke luar negara dengan kerjasama Universiti Liverpool John Moores, United Kingdom.
“Oleh itu, kita mahu pelajar tidak melepaskan peluang keemasan ini dengan membuat permohonan segera pada program Hari Terbuka yang akan diadakan nanti malah kelulusan segera diberikan kepada pelajar yang layak serta memenuhi kriteria permohonan,” katanya.
SUMBER: Utusan Online