Program Penajaan Nasional (PPN) 2025
Program Penajaan Nasional (PPN) Tahun 2025 – Tawaran Anugerah Program Penajaan Nasional (PPN) sesi tahun 2025 kini dibuka untuk permohonan. Pastikan anda menjadi yang terawal memohon tajaan di bawah Program Penajaan Nasional (PPN) hari ini.
Dengan sukacitanya dimaklumkan, bahawa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) kini sedang membuka permohonan tawaran penajaan bagi mengikuti pengajian peringkat persediaan dan ijazah pertama di bawah program penajaan nasional (PPN) tahun 2025.
Butiran dan maklumat lengkap mengenai program ini diterangkan selanjutnya menerusi artikel ini.
1. PENGENALAN
Program Penajaan Nasional (PPN) tahun 2025 merupakan penajaan kepada
30 orang pelajar terbaik lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 untuk
melanjutkan pelajaran ke universiti terkemuka dunia. Calon-calon yang terpilih akan
ditawarkan penajaan bagi mengikuti pengajian peringkat Persediaan sehingga ke
peringkat Ijazah Pertama tertakluk kepada syarat-syarat yang ditetapkan.
2. PERINGKAT PENGAJIAN DAN INSTITUSI PENGAJIAN
Pengajian yang ditaja adalah secara berpakej seperti berikut:
2.1 Peringkat Persediaan (Program A-Level 24 bulan) di Kolej Yayasan UEM (KYUEM).
2.2 Peringkat Ijazah Pertama di universiti terkemuka dunia di Amerika Syarikat, Australia, Republik Rakyat China atau United Kingdom yang dikenal pasti berdasarkan Quacquarelli Symonds (QS) World University Rankings (keseluruhan) Tahun 2025 dan 2026.
3. BIDANG PENGAJIAN
3.1 Pelajar diberi ruang untuk memilih bidang pengajian tertakluk kepada program pengajian Ijazah Pertama yang ditawarkan oleh universiti bagi tahun kemasukan pelajar, kecuali bidang-bidang yang tidak ditaja.
3.2 Program pengajian yang ditaja hendaklah telah mendapat akreditasi penuh Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) dan/ atau diiktiraf oleh Badan Profesional (jika berkaitan).
3.3 Bidang Pengajian Yang Tidak Ditaja
Bidang pengajian yang tidak ditaja adalah seperti berikut:
a) Bidang perubatan, pergigian dan farmasi;
b) Undang-undang;
c) Seni bina;
d) Bidang pendidikan;
e) Bidang yang memerlukan pelajar mengambil jenis-jenis lesen seperti lesen penerbangan dan sebagainya;
f) Program-program berkembar/ ijazah dual/ double degree/ program kerjasama dengan institusi lain;
g) Program kejururawatan, separa perubatan dan program pra-perkhidmatan;
h) Program-program berkaitan sijil/ kursus profesional; dan
i) Program selain Sarjana Muda Kepujian secara embedded honours, dengan tempoh pengajian 4 tahun berterusan di Australia. Bagi penajaan di Australia, program pengajian/ kursus yang dibenarkan ialah kursus-kursus dengan kelayakan Sarjana Muda Kepujian secara embedded honours, dengan tempoh pengajian 4 tahun berterusan di Australia sahaja.
3.4 Secara umumnya, pengajian yang akan dipertimbangkan untuk penajaan adalah program yang pengajian peringkat Ijazah Pertama yang diikuti sepenuhnya di sesebuah negara (tidak silang negara) termasuk pengajian Degree with Industrial Experience dan tidak melebihi 4 tahun (termasuk bagi bidang Kejuruteraan), tertakluk kepada dasar utama berkaitan pengiktirafan program pengajian.
4. BENTUK PENAJAAN
4.1 Penajaan program ini adalah dalam bentuk Pinjaman Boleh Ubah (PBU) Berasaskan Merit Akademik atau apa-apa bentuk penajaan yang ditentukan oleh Kerajaan.
4.2 Penajaan Pinjaman Boleh Ubah (PBU) Pinjaman Boleh Ubah (PBU) Berasaskan Merit Akademik memperuntukkan kemudahan pengecualian/pengurangan bayaran balik pinjaman berdasarkan Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) akhir dan/ atau dilantik dalam Sektor Awam setaraf dengan kelayakan seperti berikut:
Kriteria | Peratusan Bayaran Balik PBU |
---|---|
i) PNGK akhir 3.75 – 4.00 atau setara tanpa pelanjutan | 5% |
ii) PNGK akhir 3.50 – 3.74 atau setara tanpa pelanjutan | 10% |
iii) PNGK akhir 3.00 – 3.49 atau setara tanpa pelanjutan | 15% |
iv) PNGK akhir 3.00 dan ke atas atau setara dengan pelanjutan | 20% |
v) PNGK akhir di bawah 3.00 atau setara atau Gagal pengajian | 100% |
DAN/ATAU
- Dilantik dalam Sektor Awam (setaraf dengan kelayakan)
- Dikecualikan bayaran balik atas baki nilai pinjaman
5. KADAR DAN TEMPOH PENAJAAN
5.1 Semua bayaran elaun dan kemudahan adalah sebagaimana yang diperincikan dalam Surat Tawaran yang dibaca bersekali dengan Perjanjian Pinjaman Pelajaran Persekutuan yang berkuat kuasa (dikemukakan setelah calon ditawarkan penajaan).
5.2 Tempoh penajaan adalah berdasarkan tempoh pengajian di setiap peringkat pengajian yang ditaja, seperti yang dinyatakan dalam surat tawaran institusi pengajian.
5.3 JPA menaja satu kali bayaran peperiksaan ujian Bahasa Inggeris [The International English Language Testing System (IELTS) atau Test of English as a Foreign Language (TOEFL)], satu kali bayaran peperiksaan Bahasa Mandarin [Chinese Proficiency Test – Hanyu Shuiping Kaoshi (HSK)] dan satu kali bayaran peperiksaan Scholastic Aptitude Test (SAT) tertakluk kepada peperiksaan tersebut merupakan syarat permohonan kemasukan ke universiti.
5.4 Dalam keadaan pelajar berjaya menamatkan kursus persediaan namun tidak mendapat tempat di universiti yang dikenal pasti, pelajar akan ditamatkan daripada program PPN dan boleh memohon untuk dipertimbangkan penajaan dalam negara melalui dasar penyerapan penajaan sedia ada.
6. SYARAT-SYARAT PERMOHONAN
Calon mestilah memenuhi syarat-syarat permohonan seperti berikut:
6.1 Syarat Umum
(a) Warganegara Malaysia;
(b) Pemohon disyaratkan bebas daripada penyakit kronik / berjangkit / penyakit yang memerlukan rawatan susulan dan berupaya mengikuti pengajian sehingga tamat, serta disahkan sihat untuk meneruskan pengajian;
(c) Ibu dan/ atau bapa tidak disenarai hitam oleh JPA atau sedang dalam tindakan undang-undang oleh JPA;
(d) Sekiranya berjaya ditawarkan penajaan JPA, pemohon tidak dibenarkan menerima bantuan kewangan/ tajaan daripada mana-mana agensi untuk peringkat atau pengajian yang sama;
(e) Menduduki peperiksaan SPM 2024 buat kali pertama di mana-mana sekolah menengah atau calon-calon persendirian;
(f) Umur belum mencapai 19 tahun (20 tahun bagi pelajar peralihan) pada 31 Disember tahun peperiksaan SPM diduduki; dan
(g) Keutamaan diberikan kepada calon daripada latar belakang keluarga dengan kategori pendapatan B40 dan M40. Selain itu, pelajar dengan penguasaan Bahasa Mandarin yang baik turut diberi keutamaan bagi tujuan penajaan ke Republik Rakyat China.
6.2 Syarat Khusus
Memperoleh keputusan sekurang-kurangnya 8A+ atau 9A+ bagi mata pelajaran yang disenaraikan dan memperoleh sekurang-kurangnya A- bagi mata pelajaran selebihnya (jika ada), berdasarkan bidang pengajian yang ingin diikuti di peringkat Ijazah Pertama, seperti berikut:
Bidang pengajian pilihan bagi peringkat Ijazah Pertama | BIDANG KEJURUTERAAN / SAINS & TEKNOLOGI (Minimum 9 A+ dan selebihnya A-) | SELAIN BIDANG KEJURUTERAAN / SAINS & TEKNOLOGI (Minimum 8 A+ dan selebihnya A-) |
---|---|---|
Syarat khusus SPM 2024 | Memperoleh keputusan sekurang-kurangnya 9A+ bagi mata pelajaran berikut: 1. Bahasa Melayu; 2. Bahasa Inggeris; 3. Matematik; 4. Sejarah; 5. Matematik Tambahan; 6. Fizik; 7. Kimia; 8. Pendidikan Islam/Pendidikan Al-Quran dan Al-Sunnah/ Pendidikan Syari’ah Islamiah/ Pendidikan Moral/ Usul Al-Din/ Al-Syariah/ Turath Al-Quran dan Al-Sunnah/ Turath Dirasat Islamiah; dan 9. Satu mata pelajaran lain; DAN |
Memperoleh keputusan sekurang-kurangnya 8A+ bagi mata pelajaran berikut: 1. Bahasa Melayu; 2. Bahasa Inggeris; 3. Matematik; 4. Sejarah; 5.Pendidikan Islam/ Pendidikan Al-Quran dan Al-Sunnah/ Pendidikan Syari’ah Islamiah/ Pendidikan Moral/ Usul Al-Din/ Al-Syariah/ Turath Al-Quran dan Al-Sunnah/ Turath Dirasat Islamiah; 6. Sains; dan 7. Mana-mana dua mata pelajaran elektif; DAN |
7. PERMOHONAN
7.1 Permohonan dibuka secara dalam talian (online) di https://penajaan.jpa.gov.my mulai 30 April 2025 (Rabu), 10.00 pagi hingga 11 Mei 2025 (Ahad), 5.00 petang. Permohonan yang diterima selepas tarikh tersebut tidak akan diproses.
7.2 Calon dibenarkan mendaftar, mengemas kini/ meminda maklumat permohonan sebelum tarikh tutup permohonan. Hanya pindaan yang terkini sahaja diambil kira untuk tujuan penyimpanan data. Sebarang perubahan maklumat permohonan selepas tarikh tutup tidak akan diterima. Sekiranya calon membuat semakan semula keputusan SPM, calon perlu segera mengemukakan hasil semakan semula yang diterima daripada Lembaga Peperiksaan dalam tempoh permohonan dibuka sahaja menerusi e-mel [email protected].
7.3 Calon diwajibkan mengambil dan melengkapkan Ujian Khas Penajaan Persekutuan (UKPP) yang akan dibuka mulai 30 April 2025 (Isnin), 10.00 pagi hingga 11 Mei 2025 (Ahad), 5.00 petang melalui Sistem ePermohonan. Calon yang tidak menduduki ujian ini dianggap gagal dan tidak layak ditawarkan penajaan.
7.4 Calon hendaklah memastikan proses permohonan telah sempurna dengan mencetak Slip Pengesahan UKPP dan Slip Pengesahan Permohonan Program Penajaan Nasional Tahun 2025 sebagai bukti permohonan telah dibuat.
7.5 Calon boleh merujuk Soalan Lazim yang dimuat naik di Portal JPA bagi maklumat lanjut berhubung program yang ditawarkan.
7.6 Pertanyaan mengenai program tajaan dan masalah teknikal boleh dibuat dengan menghubungi talian call center iaitu 03-8885 3297 (jam 9.00 pagi hingga 4.30 petang) atau e-mel [email protected] (talian dan e-mel ini hanya aktif dalam tempoh permohonan dibuka sahaja).
7.7 Permohonan bagi calon yang ingin menggunakan hasil keputusan semakan semula SPM tidak akan dipertimbangkan sekiranya diterima selepas tarikh tutup permohonan iaitu pada 11 Mei 2025 (Ahad), 5.00 petang.
8. STUDENT ASSESSMENT CENTRE (SAC)
Calon yang memohon akan disenarai pendek dan dipanggil untuk menghadiri SAC. SAC diadakan bertujuan bagi menyediakan profil interpersonal pelajar, menyediakan maklumat kumulatif berkenaan kompetensi pelajar bagi memilih pelajar terbaik untuk ditaja JPA. Program SAC dijadualkan berlangsung mulai 10 hingga 12 Jun 2025 mengikut zon pusat temu duga.
9. TARIKH-TARIKH PENTING
Aktiviti | Tarikh / Hari / Masa |
---|---|
Permohonan dibuka | 30 April 2025 (Rabu) | 10.00 pagi |
Permohonan ditutup | 11 Mei 2025 (Ahad) | 5.00 petang |
Pengisian UKPP | 30 April 2025 (Rabu) | 10.00 pagi – 11 Mei 2025 (Ahad) | 5.00 petang |
Semakan Panggilan SAC | 2 Jun 2025 (Isnin) | 9.00 pagi – 5 Jun 2025 (Khamis) | 4.00 petang |
Tempoh SAC | 10 Jun 2025 (Selasa) – 12 Jun 2025 (Khamis) |
Minggu Kedua Julai 2025 |
10. HAK KERAJAAN
10.1 Pertimbangan adalah tertakluk kepada peruntukan yang ada serta perubahan dasar Kerajaan dari semasa ke semasa. Pihak Kerajaan tidak terikat untuk meluluskan sebarang permohonan yang diterima walaupun permohonan tersebut memenuhi syarat-syarat dan kriteria yang telah ditetapkan.
10.2 JPA boleh membuat sebarang perubahan kepada program penajaan ini pada bila-bila masa termasuk syarat dan kriteria tanpa perlu mengemukakan sebarang notis pemberitahuan terlebih dahulu.
10.3 JPA boleh menarik balik tawaran penajaan sekiranya didapati perlu tanpa memberikan sebarang notis terlebih dahulu.
LAMPIRAN 1
SENARAI PILIHAN UNIVERSITI BAGI PENGAJIAN PERINGKAT IJAZAH PERTAMA PROGRAM PENAJAAN NASIONAL TAHUN 2025
Bagi penajaan peringkat Ijazah Pertama, pelajar diberi pilihan senarai 20 universiti yang dikenal pasti berdasarkan Quacquarelli Symonds (QS) World University Rankings 2025 di Amerika Syarikat, United Kingdom, Republik Rakyat China dan Australia, seperti berikut:
BIL. | NAMA INSTITUSI | NEGARA PENGAJIAN |
---|---|---|
1. | Massachusetts Institute of Technology (MIT) | Amerika Syarikat |
2. | Imperial College London | United Kingdom |
3. | University of Oxford | United Kingdom |
4. | Harvard University | Amerika Syarikat |
5. | University of Cambridge/td> | United Kingdom |
6. | Stanford University | Amerika Syarikat |
7. | University College London (UCL) | United Kingdom |
8. | California Institute of Technology (Caltech) | Amerika Syarikat |
9. | University of Pennsylvania | Amerika Syarikat |
10. | University of California, Berkeley | Amerika Syarikat |
11. | The University of Melbourne | Australia |
12. | Peking University | China |
13. | Cornell University | Amerika Syarikat |
14. | The University of Sydney | Australia |
15. | The University of New South Wales (UNSW) | Australia |
16. | Tsinghua University | China |
17. | University of Chicago | Amerika Syarikat |
18. | Princeton University | Amerika Syarikat |
19. | Yale University | Amerika Syarikat |
20. | The University of Edinburgh | United Kingdom |
*Nota: Senarai ini adalah berdasarkan QS World University Ranking Tahun 2025