Tiada tawaran baru MyBrain15 tahun ini

Dapatkan notifikasi/pemberitahuan pantas info Biasiswa dengan sertai channel Telegram rasmi kami di https://t.me/biasiswa - Admin.

Tiada tawaran baru MyBrain15 tahun ini – Maklumat terkini mengenai status tawaran pembiayan MyBrain15 tahun 2018.

Kementerian Pendidikan menegaskan tiada sebarang tawaran baru dibuka untuk mahasiswa memohon menyertai program MyBrain15 tahun ini.

Timbalan Menterinya, Teo Nie Ching, berkata perkara itu disebabkan pelaksanaan program itu tidak mendapat kelulusan Unit Perancangan Ekonomi (EPU) selain faktor ketidakstabilan ekonomi dan kewangan negara.


“Kita tidak dapat membuka tawaran baru untuk mahasiswa memohon (Mybrain15) sebab ia tidak mendapat kelulusan EPU, menyebabkan program terbabit tidak dapat ditawarkan tahun ini.

“Mengenai soalan kenapa tidak meneruskan program terbabit dengan kerjasama swasta, saya ingin memaklumkan bahawa kementerian sentiasa terbuka untuk bekerjasama dengan sektor swasta kerana itu memang dasar kita,” katanya di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan Datuk Sivarraajh Chandran (BN-Cameron Highlands) mengenai status program MyBrain15 dan potensinya diteruskan jika mendapat kerjasama pihak swasta.

Mengulas lanjut, Nie Ching berkata, selain MyBrain15, kementeriannya menguruskan 14 program penajaan dan biasiswa lain dengan peruntukkan sebanyak RM250 juta.


“Tidak semestinya terlalu bergantung kepada MyBrain kerana kita masih ada program penajaan dan biasiswa lain. Dasar kementerian jelas iaitu mahu memastikan program penajaan ini dilaksanakan, sekali gus menjadi lebih tertumpu dan inklusif serta memenuhi hasrat pemegang taruh,” katanya.

Kementerian Pendidikan sebelum ini menjelaskan, program MyBrain15 yang dilaksanakan kerajaan terdahulu, ditangguhkan memandangkan dana diperuntukkan tidak mencukupi.

Menterinya, Dr Maszlee Malik, berkata kelulusan bagi peruntukan program MyBrain15 adalah daripada EPU dan Kementerian Kewangan tetapi peruntukan berkenaan tidak sampai kepada Kementerian Pendidikan.

Sumber: BHarian Online


Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *