Biasiswa Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN)

Dapatkan notifikasi/pemberitahuan pantas info Biasiswa dengan sertai channel Telegram rasmi kami di https://t.me/biasiswa - Admin.

Biasiswa Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) – Tawaran Biasiswa SPAN Pelajar Asasi & Matrikulasi 2022 kini dibuka untuk permohonan. Jadilah yang terawal memohon Biasiswa SPAN hari ini.

INFO PENAJA BIASISWA SPAN

Biasiswa SPAN merupakan bantuan kewangan yang ditaja sepenuhnya oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) iaitu sebuah badan kawal selia teknikal dan ekonomi yang memainkan peranan penting untuk menyelia dan mengawal selia perkhidmatan-perkhidmatan bekalan air dan pembetungan di Semenanjung Malaysia dan Wilayah Persekutuan Putrajaya dan Labuan.

Sebagai badan kawalselia, SPAN berperanan untuk mengawal selia semua entiti dalam industri bekalan air dan pembetungan termasuk operator, kontraktor, pemegang permit dan kelulusan produk bagi bekalan air dan pembetungan.


PROGRAM TAJAAN BIASISWA SPAN

Program biasiswa SPAN yang ditawarkan adalah khusus kepada pelajar-pelajar cemerlang Semester 2 Asasi/Matrikulasi untuk memberi peluang kepada mereka melanjutkan pelajaran dari peringkat Pengajian Asasi/Matrikulasi hingga ke Ijazah Pertama di universiti-universiti awam dalam negara. Peluang penajaan ini diharapkan agar dapat memupuk generasi muda yang holistik dan seterusnya melangkah ke alam kerjaya bagi memenuhi keperluan sektor kawalselia air dan pembetungan negara.

Biasiswa SPAN bukan sahaja tertumpu pada yuran pengajian dan pelbagai elaun semata-mata, bahkan SPAN turut menyediakan program pembangunan yang diatur dan disusun rapi bagi mengasah bakat kepemimpinan, kemahiran interpersonal dan pemikiran kritis pelajar sebagai persediaan sebelum melangkah ke alam pekerjaan sebenar.

Calon dari kalangan pelajar yang berjaya akan mendapat peluang untuk berkhidmat di SPAN selepas mereka menamatkan pengajian kelak.

BIDANG YANG DITAJA

Di bawah adalah senarai bidang-bidang yang ditawarkan di bawah Program Biasiswa SPAN kepada pelajar-pelajar yang sedang melanjutkan pengajian di peringkat Pengajian Asasi/Matrikulasi hingga ke Peringkat Ijazah pertama di universiti-universiti awam (IPTA):

  • TEKNIKAL (Kejuruteraan, Ukur Bahan)
  • EKONOMI/PERNIAGAAN
  • PERAKAUNAN/KEWANGAN
  • TEKNOLOGI MAKLUMAT/DATA SAINS


KOS PENAJAAN

Program Biasiswa SPAN menawarkan sokongan kewangan merangkumi kos penajaan seperti yang berikut;

1. YURAN PENGAJIAN

Tajaan adalah mengikut kadar yang ditetapkan oleh pihak Universiti.

2. ELAUN

Pembiayaan menerusi elaun-elaun seperti yang berikut disediakan untuk membantu pelajar dalam perbelanjaan sepanjang pengajian di universiti mereka;

  • Sara hidup
  • Penginapan
  • Buku
  • Alat Perkakas
  • Tesis
  • Latihan Amali

3. KOMPUTER RIBA

Pemegang biasiswa SPAN akan menerima sebuah komputer riba yang disediakan sekali sepanjang pengajian.

SYARAT-SYARAT PERMOHONAN BIASISWA SPAN

Untuk melayakkan pemohon ditaja di bawah biasiswa ini, setiap calon wajib memenuhi syarat-syarat permohonan secara umum dan khusus yang ditetapkan seperti berikut:

  1. Calon yang memohon merupakan seorang warganegara Malaysia;
  2. Calon hendaklah mempunyai kesihatan yang baik;
  3. Merupakan seorang yang aktif dalam aktiviti kokurikulum;
  4. Pelajar yang memohon tidak menerima bantuan kewangan/ tajaan dari mana-mana agensi untuk peringkat atau pengajian sama.
  5. Pemohon juga perlu memenuhi syarat-syarat khusus berikut;
    • Umur belum mencapai 19 tahun (20 tahun bagi pelajar peralihan) pada 31 Disember 2021;
    • Pelajar hendaklah mendapat sekurang-kurangnya keputusan PNGK 3.50 bagi Semester 1 Matrikulasi/Asasi

KAEDAH PERMOHONAN BIASISWA SPAN

Kepada anda yang berminat dan memenuhi syarat kelayakan permohonan, sila ikuti langkah permohonan di bawah:

  1. Terus ke laman rasmi permohonan Biasiswa SPAN di SINI
  2. Baca kemaskini terkini biasiswa seperti syarat dan tarikh tutup permohonan
  3. Klik pada butang “Mohon Sekarang”
  4. Isi maklumat yang diperlukan dengan lengkap.
  5. Semak semula semua maklumat yang diisi dan pastikan ianya lengkap sebelum menghantar permohonan.
  6. Hantar permohonan anda dengan klik pada butang ‘Submit.’

Diharapkan perkongsian maklumat di atas dapat membantu anda memperoleh tajaan biasiswa SPAN, semoga anda berjaya dalam permohonan biasiswa ini.


Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *