Pelajar 10A dapat Biasiswa MB Pahang

Dapatkan notifikasi/pemberitahuan pantas info Biasiswa dengan sertai channel Telegram rasmi kami di https://t.me/biasiswa - Admin.

Pelajar 10A dapat Biasiswa Kecemerlangan Menteri Besar (BKMB) Negeri Pahang

biasiswa mb pahang

KUANTAN – Seorang pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang memperoleh 10A, Abdul Manaf Abdul Aziz, 18, tidak menyangka doanya mahu meringankan beban bapa menanggung pengajiannya termakbul apabila terpilih menerima Biasiswa Kecemerlangan Menteri Besar (BKMB).

Abdul Manaf berkata, bapanya tidak mampu menyediakan perbelanjaan yang banyak kerana hanya bekerja kampung di Kampung Temai Tengah, Pekan dengan pendapatan kira-kira RM400 sebulan.


“Dengan biasiswa ini, saya bertekad untuk memberikan keputusan cemerlang pada setiap semester bagi membuktikan bahawa kemiskinan bukan penghalang untuk seseorang itu berjaya.

“Saya berterima kasih kepada Menteri Besar dan Yayasan Pahang atas kepercayaan memberi biasiswa ini kepada saya dan akan belajar bersungguh sungguh demi membalas budi Yayasan Pahang,” katanya kepada media ketika ditemui pada penyampaian BKMB oleh Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail di Wisma Pahang semalam.

Turut hadir Pengurus Besar Yayasan Pahang, Datuk Mahmud Mohd Nawawi.

Pada majlis itu seramai empat pelajar lepasan SPM yang mendapat 10A dan tiga pelajar cemerlang STPM yang mendapat 4A di samping aktif dalam sukan menerima insentif wang tunai RM1,000, sijil penghargaan, surat amanat dan plak.

Abdul Manaf yang turut mendapat perhatian Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik, Mac lalu berharap impiannya untuk bergelar doktor akan tercapai dengan adanya biasiswa itu.


“Memang saya ada terima tawaran dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) untuk mengikut pengajian di peringkat asasi terlebih dahulu sebelum melanjutkan dalam bidang perubatan tetapi buat masa ini saya belum buat keputusan muktamad.

“Ada beberapa lagi tawaran turut saya terima seperti Yayasan Bank Rakyat, JPA dan sebagainya dan masih saya pertimbangkan. Terima kasih kepada semua yang sudi membantu dan hanya ALLAH sahaja dapat membalas jasa anda semua,” katanya.

Sementara itu, bagi seorang pelajar cemerlang STPM, Nur Aqilah Atikah Mat Sarif, 19, dia terharu dan gembira dipilih sebagai penerima BKMB yang mampu mengurangkan beban ditanggung keluarganya.

Dia yang ingin melanjutkan pelajaran dalam bidang perakuanan di Universiti Putra Malaysia bertekad untuk mendapatkan keputusan cemerlang sekali gus mengubah kehidupan keluarganya supaya menjadi lebih baik.

“Ayah dan ibu saya yang bekerja sebagai penoreh getah sentiasa memberi dorongan dan yakin nasib terletak pada usaha tanpa mengira latar belakang keluarga.

“Walaupun ayah dan ibu saya seorang OKU tetapi mereka tetapi berikan saya pendidikan yang terbaik yang sentiasa mengingatkan saya betapa pentingnya ilmu dalam kehidupan manusia,” katanya.

BKMB mula diperkenalkan pada tahun 1998 bertujuan membentuk golongan pemikir anak Pahang yang cemerlang dalam akademik, sahsiah diri dan kokurikulum.

Melalui BKMB, pelajar perubatan akan menerima pembiayaan berjumlah RM70,000 bagi tempoh lima tahun pengajian manakala bagi bidang pengajian seperti perakaunan, kejuruteraan dan sastera pula menerima RM54,000.

Sumber: KARANGKRAF


Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *