LZNK dan UniSHAMS Tandatangani MoU Biasiswa Pendidikan
LZNK dan UniSHAMS Tandatangani MoU Biasiswa Pendidikan – Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) dan Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim (UniSHAMS), semalam menandatangani memorandum persafahaman (MoU) bagi pembiayaan biasiswa pendidikan bernilai RM1.2 juta kepada 100 pelajar asnaf fisabilillah.
Memorandum persefahaman (MoU antara kedua-dua itu ditandatangani oleh Ketua Pegawai Eksekutif LZNK Syeikh Zakaria Othman dan Rektor UniSHAMS, Prof Datuk Dr Mohd Fakhrudin Abdul Mukti disaksikan oleh Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah dipejabatnya di Wisma Darul Aman, di sini, semalam.
Syeikh Zakaria berkata, melalui jalinan kerjasama itu pihaknya menyatakan hasrat untuk membantu anak-anak Kedah yang cemerlang dalam akademik tetapi menghadapi mempunyai kekangan kewangan akan dibantu.
“Pelajar asnaf yang dibantu dengan pembiayaan penuh untuk melanjutkan lapan program pengajian iaitu empat program diploma dan empat program ijazah sarjana muda.
“Program diploma yang ditawarkan biasiswa penuh ialah Tahfiz Wal Qiraat, Pengajian Islam, Perbankan Islam dan Perakauan. Sementara, program ijazah pula ialah Sarjana Muda Tahfiz Al-Quran dan Al-Qiraat dengan kepujian, Ijazah Sarjana Muda dengan Kepujian, Sarjana Muda Usuluddin dengan kepujian dan Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan dengan Kepujian (Kewangan dan Perbankan Islam),” katanya.
Menurutnya, biasiswa LZNK ini adalah satu platform kerjasama strategik yang berfokus, jangka masa panjang untuk tujuan pembangunan pendidikan anak-anak Kedah dalam kategori Asnaf Fi Sabilillah.
“Pelajar yang terpilih untuk biasiswa ini perlu terikat dengan perjanjian dengan LZNK, di mana mereka perlu memastikan kecemerlangan akademik mereka berterusan sehingga tamat pengajian dengan CGPA minimum 3.5.
“Pemilihan pelajar yang layak akan dilakukan secara bersama oleh pihak LZNK dan UniSHAMS. Pelajar diploma layak mendapat biayaan sebanyak RM36,000 dan ijazah sarjana muda RM50,000 termasuk duit sara hidup RM300 sebulan sepanjang tempoh pengajian,” katanya.
Sementara, Mohd Fakhrudin berkata selain meringan pelajar asnaf, usaha murni itu yakin dapat menarik lwbih ramai pelajar ke institusi pengajian awamnya.
“Kita sudah ada senarai penerima biasiswa yang layak menerima bantuan ini dari LZNK,” katanya.
Terdahulu, Ahmad Bashah yang juga pengerusi Lembaga Pengarah UniSHAMS bersyukur dengan kerjasama yang terjalin dengan LZNK.
“Jalinan kerjasama ini, satu tanda pemuafakatan yang wujud antara institusi dalam negeri dan saling membantu membangunkan rakyat negeri ini dalam pelbagai aspek,” katanya.
Sumber: Sinar Harian (Utara)